B3kalan ayam di pasaran kini semakin pulih dan stabil selepas mengalami krisis kekurangan beberapa bulan yang lalu.
B3kalan ayam di pasaran kini semakin pulih dan stabil selepas mengalami krisis kekurangan beberapa bulan yang lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Suratan Kamarudin berkata status bekalan ayam di pasaran semakin stabil di mana rakyat dengan mudah mendapatkannya sama ada di pasar-pasar atau pun pasar raya.
“Kalau lihat kepada perkembangan pengeluaran ayam di negara kita, kita telah mengalami pandemik COVlD-l9 pada tahun 2020 dan 2021.
“Cuma pada bulan Disember 2021, sekatan pergerakan mula dimansuhkan, jadi segmen komersial mula dihidupkan, hotel-hotel mula dibuka, pelancongan berkembang semula.
“Jadi permintaan kepada ayam tiba-tiba naik mendadak, sedangkan pada tempoh sekatan pergerakan permintaan ayam sangat sedikit,” katanya.
Bercakap mengenainya dalam segmen SK On Air di Siakap Keli TV, beliau menjelaskan bahawa semasa pandemik kebanyakan ladang-ladang ayam telah mengurangkan pengeluaran dan mereka memerlukan tempoh masa untuk kembali meningkatkan populasi ayam di ladang masing-masing.
“Untuk meningkatkan semula populasi, memang memerlukan sedikit masa. Walau bagaimanapun, permintaan mendadak berlaku pada bulan Januari yang menyebabkan pihak ladang tidak dapat mengeluarkan serta merta mengikut kehendak pasaran,” ujarnya.
Menurutnya lagi, peringkat paling teruk yang memperlihatkan berlakunya krisis kekurangan bekalan ayam adalah pada sekitar bulan Mac dan April serta ketika Hari Raya Aidilfitri.
Punca kepada kekurangan bekalan ayam juga berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor lain seperti kenaikan harga makanan, kekurangan pekerja dan perubahan cuaca.
“Unsur yang paling penting iaitu apabila kekurangan pekerja, program-program kesihatan di ladang tidak dapat dilakukan mengikut jadual yang sepatutnya kerana mereka kekurangan tenaga kerja.
“Sedangkan dalam penternakan ayam ini, mereka perlu buat vaksinasi untuk penyakit tertentu secara berjadual, jadi apabila kekurangan pekerja jadual itu tidak dapat dipenuhi dengan sebaiknya yang menyebabkan berlakunya kes penyakit dan sebagainya di sesetengah ladang,” katanya.
Sementara itu, beliau juga berkata semua pihak perlu berperanan untuk memastikan bekalan ayam terus stabil.
“Khususnya peranan pihak ladang sendiri, kalau kita lihat kecekapan pengurusan ladang akan dapat memastikan pengeluaran bertambah.
“Contohnya jika kawalan peny4kit yang bagus di ladang, dengan sendirinya akan kurang berlaku kematian, jadi hasil di ladang terus meningkat,” katanya.
Untuk mencapainya, pihak kerajaan juga sentiasa membantu pihak industri supaya mereka mudah untuk melaksanakan perniagaan-perniagaan mereka dengan baik.
Ditanya sama ada harga ayam dapat dikurangkan atau tidak jika bekalan ayam sudah stabil, beliau menjelaskan bahawa semua pihak berperanan menjaga kepentingan masing-masing.
“Kita tahu bahawa pihak pengeluar memerlukan harga yang tertentu supaya mereka dapat mengelak dari mengalami kerugian dan juga dapat sedikit keuntungan melalui penternakan itu.
“Pada masa yang sama kita mengharapkan harga yang ditetapkan itu sesuai dan dapat diterima oleh para pengguna.
“Jadi kesemua pihak perlu berperanan untuk menjaga kepentingan masing-masing dan kita mengharapkan setiap pihak berusaha supaya kos pengeluaran dapat dikurangkan, dengan cara itu kita dapat pastikan harga ayam tidak terlalu tinggi di pasaran,” jelasnya.
Sumber: Siakap Keli TV